540 likes | 854 Views
Seminar Mendukung Kedaulatan Raja. MEMBENTUK GENERASI BERILMU, BERIMAN DAN BERAKHLAK Oleh: Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman Timbalan Menteri Pendidikan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam. بسم الله الرحمن الرحيم
E N D
Seminar Mendukung Kedaulatan Raja MEMBENTUK GENERASI BERILMU, BERIMAN DAN BERAKHLAK Oleh: Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman Timbalan Menteri Pendidikan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين و الصلاة والسلام على سيدنا محمد اشرف الانبياء و المرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين
DEFINISI “Membentuk” bererti bagaimana kita boleh menyediakan acuan yang kita kehendaki. “Generasi” ialah kumpulan individu yang lahir dan waktu hidupnya lebih kurang sama, angkatan, turunan (Kamus Nusantara, 2003 : 804). Tajuk ini membawa maksud bagaimana kita hendak melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak.
Generasi Yang Berilmu dan Beriman • Generasi jika berilmu sahaja ia mungkin boleh menjadi satu ‘force’ yang membawa kepada kemajuan dan pembangunan tanpa memperdulikan soal-soal hukum halal haram, dosa dan pahala. • Jika hanya beriman sahaja tanpa memiliki ilmu maka ia mungkin cenderung kepada ibadat sahaja tanpa mempunyai keupayaan untuk membangunkan negaranya. • Dengan berilmu dan beriman barulah kita akan dapat berjalan di atas landasan yang betul, akan melahirkan generasi yang sempurna, yang diredhai Allah kerana buah dari berilmu dan beriman itu ialah berakhlak.
“Berakhlak” • Bermakna beretika – dalam erti kata etika Islam. • berakhlak mudah disebut tetapi tidak mudah untuk dipraktikkan kecuali oleh orang yang beriman. • Akhlak seumpama ini akan tidak ada jika ilmu dan iman tidak ada.
Sebab itu salah satu fungsi terpenting Rasulullah Sallalllahu Alaihi Wasallam diutus ke alam ini adalah untuk menunjukkan kepada manusia akhlak yang mulia, dan salah satu unsur yang terpenting dalam tamadun atau civilization manusia mengikut nilai-nilai Islam ialah berakhlak yang mulia.
Firman Allah ولقد كرمنا بنى ادم و حملناهم في البر و البحر و رزقناهم من الطيبات و فضلناهم على كثير ممن خلقنا تفضيلا Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberi rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan (Surah Al-Israa’, Ayat 70).
Tentulah ada sebab mengapa Allah memuliakan manusia lebih dari makhluk lainnya, tidak lain kerana ilmu, iman dan akhlak. Lebih jelas lagi dalam ayat yang lain, Allah berfirman: كنتم خير امة اخرجت للناس تامرون بالمعروف وتنهون عن المنكر و تؤمنون بالله Ertinya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia , (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (Surat Ali-Imran, Ayat 110).
PERSOALAN siapa?, apa?, dan mengapa?. Apa tujuannya membentuk generasi berilmu, beriman dan berakhlak?.
SOAL SIAPA • Soal siapa tentulah akan terpikul kepada dua buah kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama • Kementerian Pendidikan mungkin lebih kepada pendidikan ilmu fardu kifayah • Kementerian Hal Ehwal Ugama lebih kepada ilmu fardu ‘ain
Tugas Kementerian Pendidikan pula ialah supaya pelajar-pelajar kita dapat meningkatkan keupayaan dalam ilmu metamatik, ilmu sains seperti Biologi, Kimia, Fizik, ICT. Ilmu terakhir ini (ICT) sangat penting pada masa ini sebagai alat pengajaran dan pembelajaran, dan sudah tentu akan sangat membantu para pelajar bersaing di dalam dan luar negara.
Dalam soal bahasa Arab ini, Kementerian Pendidikan sudah memperkenalkan pengajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah sebagai satu mata pelajaran “optional” di peringkat Sekolah Rendah hingga Menengah Tiga atau PMB. Jika ada sambutan dan pencapaian baik dari para pelajar mungkin akan ada pemikiran untuk dilanjutkan ke peringkat menengah dan tinggi. Ini bermakna peluang sudah disediakan dan terbuka kepada semua pelajar. Cuma para pelajar perlu melihat akan kepentingannya di masa hadapan bahawa kebolehan mereka berbahasa Inggeris dan Arab saya percaya akan mendedahkan mereka lebih luas dan lebih efektif kepada dunia antarabangsa termasuk di Timur Tengah.
Ini kerana senjata serampang dua mata ini dari segi bahasa akan menyebabkan kita negara kecil ini mempunyai ‘access’ dan penerimaan yang lebih berkesan dan lebih mesra di kebanyakan tempat dalam dunia. Rasanya bahasa Arab itu adalah lebih dekat dengan kehidupan kita sehari-hari bukan sahaja dari segi komunikasi malah yang lebih penting lagi ialah dari segi penghayatan beragama yang tiada tolok bandingnya dengan apa pun bahasa di dunia ini kerana ia bahasa Al-Quraan dan bahasa Al-Hadith yang merupakan ibu segala ilmu dan ibu segala rujukan.
Institusi yang tidak formal ialah pihak ibu bapa, keluarga dan masyarakat umum. Ini bermakna pendidikan yang bersepadu iaitu kerjasama dari pihak sekolah dibantu oleh ibu bapa dan keluarga Insya Allah akan benar-benar menjamin bagi melahirkan insan yang terdidik yang menjadi harapan negara, bangsa dan agama. Ibu bapa berperanan sentiasa melihat kemajuan anak-anak mereka dalam usaha memberi asas yang kuat supaya anak-anak mereka mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada itu media massa perlu juga berperanan bagi memberi ruang yang seluas-luasnya untuk penyibaran ilmu, untuk penyuburan iman dan untuk menanamkan pada jiwa anak-anak tentang perlunya menghayati akhlak yang baik. Mungkin kerjasama dari segala pihak seperti pendidik, pentadbir, pendakwah, jurnalis, pengarang, pemikir, pemegang candik yang berkuasa, ulama, para ibu bapa, maka usaha untuk membentuk generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak ini akan lebih mudah dicapai dan hasilnya dapat dinikmati.
SOAL APA Soal apa tujuan kita membentuk generasi berilmu, beriman dan berakhlak? ialah supaya negara kita maju, mempunyai daya saing dan supaya anak-anak kita dapat menyumbang kepada kemantapan, kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan negara dan supaya anak-anak kita tidak menjadi sampah masyarakat, tidak menjadi barang terbuang, tidak terhina. Ini kerana Islam memandang semua individu adalah mulia, semua individu sangat berharga sebagaimana Islam memandang semua nyawa manusia sangat berharga dan tidak boleh sewenang-wenangnya nyawa itu dimusnahkan tanpa hak yang sebenarnya.
SOAL MENGAPA Soal mengapa kita perlu membentuk generasi berilmu, beriman dan berakhlak? jawabnya sangat perlu, sebab cabaran masa kini sangat hebat. Walaupun bilangan kita sedikit dan negara kita kecil, namun kalau bilangan yang kecil itu benar-benar berkualiti dan mempunyai kepakaran dalam berbagai bidang ilmu, maka bilangan yang sedikit itu boleh menandingi bilangan yang ramai. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah Taala: كم من فئة قليلة غلبت فئة كثيرة باذن الله و الله مع الصبرين Ertinya: berapa banyak (yang pernah terjadi) golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah (sentiasa) bersama orang-orang yang sabar (Surah Al-Baqarah, Ayat 249).
Ini selaras dengan usaha-usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah menyediakan peruntukan yang begitru besar dalam bidang pendidikan umum dan pendidikan kerohanian, memberikan dermasiswa kepada anak-anak tempatan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan untuk belajar secara percuma di dalam dan luar negara. Semuanya adalah semata-mata untuk menjana supaya anak-anak tempatan menjadi orang yang berilmu. Al-Hamdulillah, usaha tersebut tidak sia-sia. Jika dibandingkan dengan keadaan 50 tahun yang lalu tentu tidak siapa pun yang akan menafikan bahawa kita sudah jauh maju kehadapan.
Walau bagaimanapun, kita perlu berkerja keras lagi secara berterusan bagi mengisi keperluan-keperluan masa ini. Kita juga belum mempunyai ilmuan tempatan yang bertaraf profesor yang diakui di peringkat antarabangsa. Rasanya tidak cukup dengan seorang atau dua orang profesor sahaja. Kalau boleh puluhan malahan ratusan profesor diperlukan dari berbagai bidang. Berbanding dengan negara-negara jiran, nampaknya kita masih jauh ketinggalan. Ini yang perlu dituju dan disedari oleh cendekiawan tempatan. Untuk mendapat pangkat profesor itu bukannya mudah. Di negara kita hanya selepas 50 tahun kita celik mata kepada pelajaran barulah memperolehi seorang perofesor yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Allah Yarham Dato Paduka Seri Setia Profesor Dr Haji Mahmud Saedon bin Awang Othman. Kematiannya pada tahun 2002 menjadi satu kehilangan besar kepada negara kita. Bayangkan betapa sukarnya melahirkan seorang profesor.
Dunia sudah berubah dengan begitu pesat, kita perlu peka menangani era globalisasi dan dunia ICT, era perdagangan, pelancungan, pembinaan, komunikasi dan sebagainya. Semua ini memerlukan generasi kita lebih berilmu dan lebih cekap.
Perlunya berilmu dan beriman. • -berilmu sahaja tidak memadai kerana akhirnya kita akan kecundang. • Perlunya generasi beriman • Apa maknanya beriman – maknanya percaya kepada Allah dan RasulNya. Percaya bahawa apa sahaja yang kita lakukan dilihat oleh Allah. • Iman yang memandu kita supaya sentiasa berjalan di atas landasan yang lurus dan benar seperti kita pohonkan kepada Allah dalam Solat : • اهدنا الصراط المستقيم صراط الذين انعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين • Ertinya: Jalan lurus yang engkau telah beri nikmat kepada mereka. Bukan jalan yang dimurkai Tuhan dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.
Kalau generasi kita berilmu dan beriman, semuanya akan jadi selamat, tidak ada rasuah, tidak ada pecah amanah, tidak ada hina menghina, tidak ada oporcunis dan egois, dan seumpamanya. Secara umumnya berilmu dan beriman akan melahirkan insan yang seimbang. Natijahnya ialah akan melahirkan insan yang berciri positif dan memiliki akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia ertinya bersopan santun, berbudi bahasa, hormat menghormati, tawaduk, taat kepada ketua, amanah, benar segala perbuatannya, jujur, tidak menipu dan sebagainya. Insan seperti inilah yang dikehendaki oleh negara, untuk menyelamatkan negara kita dari kehancuran. Saya mengatakan kehancuran kerana kita melihat banyak masyarakat dalam dunia hari ini yang berilmu, tetapi tidak beriman, akibatnya akhlak jadi rosak, dan pantang ada kesempatan di hadapan mata semua akan jadi mangsanya, “membujur lalu melintang patah”. Mereka tidak memikirkan dosa dan pahala. Tetapi apa yang difikirkan ialah kepentingan diri sendiri lebih daripada kepentingan agama dan negara.
Dalam Al-Quraan Allah telah menceritakan perihal kaum-kaum yang degil dan ingkar itu menerima bala kemusnahan dengan berbagai cara seperti kaum ‘Aad dan kaum Thamud. Apabila Allah memusnahkan maknanya Allah benci kepada generasi sedemikian sedangkan apa yang kita inginkan ialah Allah redha, Allah mengasihi dan memelihara generasi kita dari kerosakan. Ini boleh dicapai jika kita mempunyai generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak.
Lagi jawapannya ialah kita adalah sebuah negara Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, menjadikan MIB sebagai falsafah hidup dan budaya bangsa.Ini maknanya kita memiliki jati diri sendiri yang perlu di pertahankan.
Kita memerlukan generasi sedemikian juga sebagai tanda terima kasih kita kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien yang telah menyediakan bagi kita prasarana pendidikan umum dan pendidikan agama, kemodenan dan kemewahan hidup yang menjadikan kita satu bangsa yang berani dan bermaruah di peringkat serantau dan antara bangsa. Malah sebagai tanda kasih sayang kita kepada raja kita Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizaddin Waddaulah yang telah memberikan kepada kita satu kepimpinan yang cemerlang di mana dalam banyak titah-titah baginda menyeru supaya generasi sekarang yang menjadi aset negara hendaklah berilmu, beriman dan berakhlak.
Titah baginda sangat menarik untuk direnungi antaranya: “Bangsa yang besar ialah bangsa yang berilmu, kita tidak boleh bersikap membelakangi ilmu jika kita mencicirkan ilmu, kegemilangan akan mencicirkan kita” (Titah di Majlis Perasmian Seminar Institusi Masjid dan pameran mengenainya, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 19hb. Julai, 2004.).
Titah baginda lagi: “Apakah matlamat negara itu?. Yang penting ialah menukarkan persepsi dan tanggapan negatif orang lain terhadap kita, disamping menjelmakan nilai-nilai kemakmuran dan kesejahteraan yang diredhai oleh Allah. Kita gunakan ungkapan “Diredhai oleh Allah”, ini kerana kemakmuran dan kesejahteraan itu boleh sahaja diperolehi dengan berbagai cara, termasuk dengan cara membelakangi nilai-nilai agama. Adapun kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai agama itu, tidak akan dapat bertahan lama, kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat dan apa pun jua yang ketandusan berkat tidak akan dapat menghasilkan kebahagiaan sejati”. (Titah di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Pusat Persidangan Antarabangsa pada 4hb. Desimber, 2004).
BERILMU Bercakap tentang berilmu, dalam Islam sumber ilmu itu ialah al-Quraan dan Al-Sunnah. Dalam Islam, ilmu sama ada duniawi atau ukhrawi adalah sama penting. Ilmu duniawi dapat dikatakan sebagai ilmu yang membahas tentang kemajuan dan kepentingan hidup di dunia, sementara ilmu ukhrawi ialah ilmu yang membahas tentang akidah, syariah, ketuhanan, keakhiratan dan seumpamanya. Satu lagi dalam Islam cara pembahagian ilmu itu ialah Ilmu Fardu ‘Ain dan Ilmu Fardu Kifayah. Ilmu Fardu ‘Ain ialah yang membahas tentang kewajipan diri sendiri terhadap Allah seperti dari segi peribadatan khususi, kesucian diri dan sebagainya. Adapun Ilmu Fardu Kifayah ialah yang membahas tentang kepentingan masyarakat, pembangunan dalam segala bidang misalnya ilmu perubatan, ilmu ekonomi, ilmu kewangan, ilmu arkitik dan sebagainya.
Ilmu Fardu ‘Ain ialah ilmu yang setiap orang mesti mempelajarinya tanpa pengecualian seperti berkebolehan membaca Al-Quraan dan berkebolehan dalam peribadatan khusus seperti sembahyang, berpuasa, berzakat, menunaikan fardu Haji, itu semua adalah fardu ‘Ain ke atas setiap Muslim sejati mengetahuinya dengan sempurna. Allah telah menjelaskan dalam banyak tempat di dalam al-Quraan tentang pentingnya ilmu pengetahuan tidak kira apa sahaja ilmu yang diperlukan dan membawa kebaikan kepada manusia, dan betapa Allah mengangkat orang yang berilmu itu beberapa darjat lebih tinggi dari orang yang tidak berilmu. Allah menggandingkan orang yang beriman dan berilmu itu pada satu darjat yang sama tingginya, sebagaimana firman Allah: يرفع الله الذين امنوا منكم والذين اوتوا العلم درجات Ertinya: Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat (Surah Al-Mujadalah, Ayat 11).
Maknanya orang yang beriman dan orang yang berilmu sama-sama mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Mengenai kepentingan ilmu ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskan dalam sabda baginda: من اراد الدنيا فعليه بالعلم و من اراد الاخرة فعليه بالعلم و من ارادهما فعليه بالعلم Ertinya: Sesiapa yang inginkan kejayaan di dunia maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kejayaan diakhirat hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kejayaan pada kedua-duanya (dunia dan akhirat) hendaklah dia berilmu.
Apakah ciri-ciri orang yang berilmu dan beriman? • sukar untuk mempastikan seseorang itu berilmu kecuali dengan melihat beberapa ciri, misalnya mempunyai ijazah. • Untuk melihat sama ada ia beriman atau sebaliknya dapat dilihat dari amal atau perbuatannya. Adakah solatnya sempurna?, adakah puasanya tunai?, adakah hajinya terlaksana?, adakah ia seorang dermawan dan murah hati?.
Di dalam dunia hari ini, terdapat orang yang berilmu tetapi tidak beriman seperti orientalis. Orientalis ada di antara mereka yang mendalam dalam ilmu hadith, ilmu tafsir al-Quraan, ilmu fiqeh dan sebagainya, tetapi mereka menganggap ilmu itu hanyalah sebagai kebudayaan, mereka ini ramai sekali terdapat di dunia Barat, mereka mengetahui selok belok ilmu Islam, tetapi mereka bukan penganut Islam dan mereka tidak beriman.
Saya sukacita memberi peringatan di sini kepada anak-anak kita yang belajar di mana-mana sahaja supaya berwaspada dan tidak mudah terpengaruh kerana kaum orientalis ini setengahnya berusaha untuk menyelewengkan fakta keilmuan Islam yang sebenarnya malah berusaha meracuni fikiran orang-orang Islam dengan menimbulkan keraguan terhadap agama mereka. Oleh kerana itu usaha kerajaan kita seperti melalui Jabatan Penerangan dengan kerjasama dari lain-lain agensi kerajaan dan swasta pada menganjurkan berbagai aktiviti termasuk memberikan bekalan pengetahuan agama, akidah, syariah, akhlak dan lain-lain sebelum dihantar keluar negara, atau semasa percutian mereka di tanah air bagi saya sangat bermanfaat. Yang penting dibuat ialah penilaian setakat mana kesan kefahaman dan penerimaan mereka. Mudah-mudahan benteng yang disediakan ini dapat menyelamatkan mereka dari pengaruh buruk.
BERIMAN Bercakap tentang beriman, kita bersyukur kerana negara kita adalah sebuah negara Islam yang menghayati ajaran Islam sejak berkurun-berkurun yang lalu. Di dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dinyatakan bahawa Islam adalah agama resmi negara mengikut aliran Ahlis-Sunnah Waljamaah, mazhab Shafie. Negara Brunei Darussalam berjalan di atas landasan ini. Majlis Ugama Islam dan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bertindak selaku pihak legislatif dan eksekutif telah berkerjasama dengan lain-lain kementerian, agensi kerajaan dan swasta pada melaksanakan ajaran Islam di negara ini.
Istimewanya lagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam selain bertindak sebagai ketua negara, baginda juga adalah ketua agama. Kecenderungan Al-Marhom Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien kepada perkembangan Islam di mana baginda telah mengasaskan pendidikan Islam di negara ini pada tahun 1956 telah memberi peluang supaya setiap pelajar Islam mendapat pendidikan agama selama 6 tahun bermula dari darjah satu hingga darjah enam (pelajar tersebut jika di sekolah biasa pada masa itu dia berada dalam darjah 3 rendah hingga menengah 2).
Melalui sekolah agama ini, telah membolehkan mereka mendapat didikan kerohanian fardu ‘ain secara praktikal. Sistem pendidikan ini berjalan hingga sekarang. Selepas tingkatan dua, pelajar-pelajar tersebut meneruskan lagi persekolahan mereka dengan menumpukan kepada mata pelajaran umum dan sains sehingga memasuki pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Namun persekolahan agama selama 6 tahun itu telah meninggalkan kesan yang positif yang menjadikan generasi masa lalu dan sekarang ini kenal agama, celik al-Quraan dan berakhlak. Selain itu melalui saluran Sekolah Arab, Maktab Perguruan Ugama, Institut Tahfiz al-Quraan dan Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, UBD, dan penghantaran pelajar-pelajar ke Universiti Al-Azhar, Mesir adalah saluran bagi melahirkan cendekiawan Islam, ulama, guru agama, ahli- hafaz al-Quraan, pendakwah dan lain-lain yang membantu ke arah menyuburkan keimanan di negara ini.
Negara Brunei Darussalam bernasib baik kerana selepas al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien, teraju pemerintahan berada di tangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadien Waddaulah yang kasihkan rakyat dan berpegang teguh kepada ajaran Islam telah meneruskan usaha-usaha yang diteruka oleh ayahanda baginda bahkan lebih kuat lagi menekankan pembangunan pendidikan di negara ini bagi menjana pelbagai ilmu pengetahuan dengan terdirinya pusat-pusat pengajian tinggi seperti UBD, ITB, Maktab Jururawat, Maktab Teknik dan seumpamanya. Demikian juga pendidikan berkembang di kalangan swasta.
Soalnya ialah mengapa kita perlu membentuk generasi kita menjadi generasi yang beriman. Jawabnya kerana kita percaya kepada al-Quraan dan Al-Sunnah, kerana al-Quraan terbukti mukjizatnya tidak pernah berubah dan terbukti kehebatannya sehingga ianya dibaca dan di hafaz oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia setiap hari. Allah telah berjanji ia akan memelihara al-Quraan ( انا نحن نزلنا الذكر و انا له لحافظون) Allah juga telah berjanji Ia akan memelihara kita jika kita berpegang teguh dan memelihara agamaNya. Begitu juga Allah akan menolong kita dalam apa jua permasalahan yang kita hadapi jika kita membantu untuk menegakkan agamaNya sebagaiamana firman Allah: ان تنصروا الله ينصركم و يثبتاقدامكميا ايها الذين امنوا Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama ) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan menegakkan tapak pendirian kamu (Surah Muhammad, Ayat 7).
BERAKHLAK Bercakap tentang berakhlak, akhlak adalah merupakan natijah daripada berilmu dan beriman. Melalui proses pendidikan yang sempurna dalam memberikan ilmu dan menanamkaniman, Insya Allah generasi kita yang telah lalu, sekarang dan akan datang tetap akan memiliki akhlak yang sempurna yang akan membezakannya dari generasi lain di luar negara. Akhlak yang sempurna itu bermakna mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kerana dunia Islam dan dunia bukan Islam pun telah mengakui bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah contoh terbaik. Baginda diakui oleh Allah Taala dan diakui oleh semua golongan masyarakat yang waras akal mereka. Kalau begitu tidak perlu lagi kita berpaling kepada yang lain. Berakhlak sempurna terhadap Allah, berakhlak sempurna terhadap manusia, berakhlak sempurna terhadap ketua, terhadap ibu bapa, terhadap guru terhadap jiran tetangga dan sebagainya. Ini akan mewalihkan generasi kita dari generasi di lain-lain tempat
Akhlak yang lahir dari ilmu dan iman bermakna generasi kita tahu adanya balasan Allah, akan tahu azab diakhirat, akan tahu membezakan yang halal dan yang haram, akan sentiasa menjalankan kewajipan dengan penuh amanah, bertanggungjawab, benar dalam percakapannya, ikhlas dalam perbuatannya. Generasi seperti inilah yang akan menyelamatkan masyarakat, bangsa, negara, kerajaan dan rajanya. Generasi seperti ini tidak akan menjadi beban kepada negara dan kerajaan sebaliknya akan menjadi satu rahmat dan keuntungan besar kepada negara dan kerajaaan yang memilikinya.
Untuk menghasilkan generasi sedemikian tidaklah mudah. Ia memerlukan kerjasama dari semua pihak seperti telah disentuh di awal-awal tadi. Memandangkan pendidikan adalah satu pelaburan, maka untuk menjayakan pelaburan ini ia memerlukan prasarana yang sempurna dan kondusif, memerlukan tenaga akademik yang berkualiti, memerlukan segala peralatan moden terkini, memerlukan bahan bacaan yang menarik dan mencukupi. Semuanya ini memerlukan peruntukan yang besar.
KESIMPULAN Pada kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa untuk membentuk generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak tidak syak lagi hanya dapat dijayakan menerusi pendidikan formal dan non-formal.
Sekali lagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam menyentuh tentang pentingnya pendidikan: “Beta melihat satu jalan keluar, malah satu harapan hanyalah pada pendidikan jua. Pendidikan sahajalah yang mampu menguasai semua ini. Pendidikan merupakan alat tercanggih untuk mengatasi unsur-unsur yang kritikal dalam masyarakat. Di sinilah sumbangan pendidikan itu terhadap pembinaan insan dan kemajuan negara. Belum ada sukat-sukat yang boleh digunakan untuk mengukur sumbangan tersebut. Tetapi apa yang ada ialah, setiap kejayaan di dalam pembangunan adalah berpunca dari sumber tenaga manusia dan tenaga manusia pula adalah dibentuk oleh pendidikan dan latihan”.
“Pelaburan dalam sumber tenaga manusia boleh meningkatkan “Human Capital”. Keistimewaan modal manusia, ia tidak akan putus atau berkurangan walaupun digunakan, berbanding dengan modal-modal biasa yang lain. Oleh itu pendidikan mestilah dilihat dengan serius, bukan oleh kalangan pendidikan sahaja, malahan juga oleh setiap individu, kerana ianya adalah menyangkut soal survival bangsa dan masa depan” (Titah sempa ulangtahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23hb. Februari, 2003).
Pada hemat saya, kepimpinan yang berwawasan, dinamik, beragama, berhemah tinggi, berakhlak mulia di semua peringkat dari pucuk pimpinan hingga ke bawah, termasuk kepimpinan dari semua institusi pendidikan adalah sangat perlu bagi melahirkan dan membentuk generasi berilmu, beriman dan berakhlak. Al-Hamdulillah, kita beruntung kerana pucuk pimpinan negara kita sangat mengambil berat terhadap kepentingan pendidikan dan permasalahannya yang perlu diambil langkah serius untuk meningkatkan kualitinya, sebagaimana titah baginda : “bukan oleh kalangan pendidikan sahaja, malah juga oleh setiap individu, kerana ianya adalah menyangkut soal survival bangsa dan masa depan”. Ini dapat dilakukan dengan semua pihak menyumbang kearah berjalan licinnya sistem pendidikan tersebut supaya tidak terhalang atau tersangkut di mana-mana.
Kita sudah mempunyai Falsafah Pendidikan Negara yang dihasilkan oleh Majlis Pelajaran Kebangsaan di tahun-tahun yang sudah. Falsafah itu tentulah direka dan difikirkan dengan mendalam oleh para pemimpin dan pemikir pada masa itu berdasarkan keperluan pendidikan di negara kita yang menekankan keperluan pendidikan duniawi dan ukhrawi.
- Apa yang perlu diatasi sekarang ialah masih kurangnya minat membaca bahan-bahan yang bercorak ilmiah, majalah dan surat-surat khabar, bukan sahaja di kalangan para pelajar malah juga di kalangan masyarakat umum. - kempen-kempen membaca perlu dipesatkan lagi, dan pelbagai kaedah, motivasi dan cara-cara yang boleh mendorong orang ramai terutamanya para pelajar membaca perlu diusahakan. Pendeknya budaya membaca perlu disuburkan dalam masyarakat kita.
sebuah Perpustakaan Kebangsaan (National Library) atau Perpustakaan Negara yang lengkap dengan segala kemudahan terkini dan kondusif perlu diwujudkan di ibu kota. • Perpustakaan tersebut bukan hanya sekadar sebuah lambang keilmuan, malah ia lebih merupakan sebagai pusat rujukan utama di mana para pelajar, para belia beliawanis, para pegawai, para pengkaji, para cendekiawan dan malah para pemimpin seterusnya orang ramai mengunjunginya bagi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukannya..
Saya tidak menafikan adanya berbagai perpustakaan kecil atau sederhana di negara kita yang wujud di sana sini untuk memenuhi keperluan masing-masing institusi dan daerah-daerah. Kita juga tidak menafikan pertumbuhan perpustakaan kecil di masjid-masjid, satu tanda yang baik, tetapi perlulah diisikan dengan bahan-bahan yang menarik untuk dibaca dan perlunya ada ruang membaca yang bersesuaian di sudut masjid. Malahan di setengah negara jiran sudah menjadikan masjid turut berperanan sebagai pusat ilmu di mana berbagai ilmu duniawi dan ukhrawi di ajarkan kepada generasi muda yang secara tidak langsung turut memakmurkan masjid tersebut dengan aktiviti ilmu dan ibadah.